Pages

February 05, 2013

DIARI TANAH SUCI III

*Pagi ni hati tergerak untuk buka blog ni setelah sekian lama menyepi..Ku temui sedikit catatan tentang perjalananku ke tanah suci 2 tahun lepas.Memandangkan aku dah "jerukkan" entry ni hampir setahun, aku rasa nak post terus supaya sekurang-kurangnya "jeruk" ni boleh dikongsi bersama pembaca ^_^
p/s: entry ni ditulis pada Mei/Jun 2012..


Perjalanan hamba yang lemah ke bumi barakah.
Episod ke-3. Terbang ke bumi barakah

                Alhamdulillah setelah memperolehi visa untuk ke Arab Saudi, kami bertolak ke Lapangan Terbang Vienna selepas subuh hari Jumaat 5 Ogos 2011 untuk menaiki kapal terbang Royal Jordanian untuk ke Saudi. Hari tersebut merupakan hari ke-5 Ramadhan. Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan kami ke Vienna. Mungkin juga sebab dah biasa jadi perjalanan kami lancar sahaja. Kami tiba di Airport lebih kurang jam 11 pagi dan flight kami adalah pada pukul 1 tengahari. Masih ada beberapa jam lagi. 

                  Disana kami menyelesaikan pembayaran 3100 Euro tersebut dan menerima sedikit taklimat dari ketua rombongan, Brother Muhammad. Beliau merupakan warganegara Austria yang berasal dari Mesir. Sangat fasih bertutur dalam Bahasa Arab, Inggeris, Jerman. Cemburu rasanya mendengar beliau berkomunikasi dalam pelbagai jenis bahasa. Disana juga kami bertemu dengan ahli rombongan yang lain. Kebanyakannya adalah Muslim dari negara lain yang menetap dan sudah menjadi warganegara Austria. 

               Dalam keramaian tersebut, terselit 2 muslimin dari Czech selain aku dan suami. Alhamdulillah. Salah seorangnya merupakan penjaga Masjid di Hradec Kralove, Brother Ismail yang berasal dari Palestin tapi sudah menjadi warganegara Czech. Beliau sudah berpengalaman 3 kali menunaikan umrah dan sekali menunaikan haji melalui ejen ini. Beliaulah yang banyak membantu kami di Mekah dan Madinah. Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga. Sejujurnya aku merasa rendah diri bila berada dalam gerombolan Muslim yang hebat ini, tapi Allah sedang memberi peluang kepadaku untuk belajar sesuatu dari mereka.

               Selepas beberapa ketika,masuklah waktu Zohor di Vienna. Mereka mengajak kami beramai-ramai menunaikan solat di Airport. Kami berdua berteka teki dimana mahu solat. Selepas semua ahli rombongan bersedia dengan wudhuk, kami naik beramai-ramai ke tingkat atas (sudah lupa tingkat berapa). Di sana ada 1 bilik yang agak besar disediakan khas untuk bersolat! Masyaallah! Terasa sungguh bahagia bila berjumpa Musolla di negara minoriti muslim ^_^

                 Sebaik sahaja kami selesai menunaikan solat jamak dan qasar tiba-tiba ramai pekerja lapangan terbang masuk ke dalam bilik tersebut untuk menunaikan solat Jumaat. Saat itu hatiku sangat tersentuh. Betapa Islam itu syumul, dimana jua kita berada syariatnya dapat diamalkan. Tersentuh oleh keimanan yang kuat dalam diri para pekerja tersebut. Mereka jauh dari negara Islam,kalau mereka tidak menunaikan solat pun tiada siapa yag mahu ambil tahu, tapi keyakinan kepada Allah telah menggerakkan hati-hati mereka untuk memipin langkah mereka ke musolla tersebut. Masyaallah. Teringat saudara-saudara seislamku di Malaysia. Statistik menunjukkan tidak sampai 20% umat islam yang menjaga solat 5 waktu. Itu di Malaysia, yang dicanangkan sebagai NEGARA ISLAM. Apa yang pasti hidayah Allah tidak mengira tempat. Berada di "negara islam"  belum tentu dapat memasukkan nilai keislaman dalam diri seseorang.

                   Ada satu lagi peristiwa menarik yang sukar ku lupakan. Selepas check-in, kami menunggu di tempat boarding untuk menaiki pesawat. Tiba-tiba wujud 2 saf muslimin menunaikan solat berjemaah zohor beramai-ramai dengan tenangnya.. Masyallah! Sekali lagi aku tergamam. Di Czech amat susah kami mahu menunaikan solat secara terang-terangan. Ada sahabatku yang pernah dimarahi kerana menunaikan solat walaupun di tempat yang agak tersembunyi. Banyak sungguh pengalaman baru hari ini! Alhamdulillah. Terima kasih Allah kerana memilihku untuk melalui pengalaman sebegini. Semoga ia dapat mendekatkanku denganMu.

                     Penerbangan ke Amman mengambil masa lebih kurang 4 jam. Sebelum sampai ke Amman kami melalui miqat dimana jemaah umrah boleh berniat untuk menunaikan umrah sejurus pesawat melalui kawasan tersebut. Tapi malangnya aku dan suami tidak ada idea langsung tentang perkara ini. Apapun kami mengikut majoriti dan berniat juga. Sesampainya kami di Amman, para jemaah lelaki mandi dan menukar pakaian kepada pakaian ihram. Suamiku juga begitu. Cuma..pada waktu tersebut kami masih belum mendapatkan pakaian ihram memandangkan sukar untuk mendapatkannya di Czech. Saat itu Allah menghulurkan bantuanNya..Seorang brother dari Hradec Kralove (kawan kepada Ismail tadi) membawa 2 pasang kain ihram. Jadi dia menyedekahkan sepasang kain ihram bersama sepasang selipar kepada encik suami kerana selipar encik suami masih berada dalam checked-in bag. Alhamdulillah. Hanya Allah sahaja dapat membalas jasanya.

                      Perjalanan dari Amman ke Jeddah hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam. Aku tidak dapat tidur dalam pesawat. Terlalu excited dan nervous! Ya Allah..Perasaanku saat itu hanya Allah yang tahu..Betapa aku merindui Dia, Rasulullah dan para sahabat. Aku sedang dalam perjalanan menuju ke tempat mereka! ^_^

                         Kami sampai di Lapangan terbang Jeddah pada pukul 12 tengah malam. Aku sudah letih dan mengantuk tapi masih excited. Aku membayangkan Lapangan Terbang Jeddah sangat besar, berteknologi tinggi dan sangat sistematik kerana ia menerima jutaan manusia setiap tahun. Namun jangkaanku ternyata meleset jauh!

Pahit manis perjalananku di bumi barakah ini bermula disini. Di saat aku menjejakkan kaki ke tanah Arab Saudi..

Insyaallah to be continued in episod 4 ^_^